|
12 Mei 2010 – Pasukan bola sepak campuran PERPATI dan Veteran UUM menepati ramalan apabila berjaya menundukkan pasukan Kampung Bukit Payung dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan persahabatan yang berlangsung pada semalam bertempat di Padang A, UUM. Ketua Pasukan Bola Sepak PERPATI, Mohd Hafiz Ghazali menyatakan kemenangan ini merupakan kemenangan pembakar semangat bagi perlawanan-perlawanan berikutnya memandangkan ini kali pertama pasukan bola sepak PERPATI bermain semula setelah berehat panjang sejak pertemuan menentang pasukan Veteran Thailand di Hatyai tahun lalu. “Kita berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain bola sepak PERPATI, namun kita berharap lebih ramai ahli PERPATI untuk turun pada perlawanan berikutnya kerana ahli PERPATI bukan sahaja melibatkan pegawai-pegawai tadbir tetapi juga semua pegawai dari skim lain seperti pegawai teknologi maklumat, pustakawan, penolong bendahari, pegawai penyelidik sosial, kaunselor, pegawai belia dan sukan dan lain-lain,” katanya yang merupakan seorang Pegawai Penyelidik Sosial di UTLC. “Apa yang lebih penting bagi kita ialah semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para pemain dan juga ikatan ukhuwwah yang terjalin melalui acara bola sepak yang secara tidak langsung mampu merapatkan ikatan sesama ahli PERPATI,” katanya lagi. Menyokong padangan yang sama adalah saudara Mazli, yang juga merupakan seorang Pegawai Penyelidik Sosial di RIMC menyatakan bahawa beliau amat teruja untuk turun pada perlawanan pertama ini biarpun hujan turun agak lebat pada awal perlawanan. “Saya berharap lebih ramai ahli dapat turun untuk perlawanan berikutnya kerana apa yang lebih penting adalah ikatan silaturrahim yang terjalin sesama ahli,” katanya. Gol-gol kemenangan dijaringkan pada lewat perlawanan oleh pemain-pemain Pasukan Veteran UUM dengan dibantu oleh pemain-pemain Pasukan PERPATI. Tamat. ABDUL SHAKUR |